Assalamualaikum,
Hari ini nak throwback pengalaman kami jalan-jalan di Bandar Muar pada bulan September 2017. Masa ini kebetulan kami ada kenduri saudara di Segamat. Alang-alang dalam perjalanan balik ke Kuala Lumpur, kami singgah bermalam satu hari di Muar.
Cukup tak kalau nak jalan-jalan Muar satu hari?
Jawapannya, cukup sangat sehari dan bermalam di Muar ni. Walaupun satu hari, tapi banyak tempat best dan menarik boleh jalan-jalan sambil cari makan yang sedap.
Kami mula perjalanan dari KL masuk Lebuhraya Utara-Selatan dan keluar ke Tol Tangkak (Exit 235). Kalau korang dari Johor Baharu boleh ambil dari Persimpangan Pagoh (Exit 238). Tempoh perjalanan dari KL lebih kurang dalam 21/2jam sahaja.
Bandar Muar ni digelar sebagai Bandar Maharani Bandar DiRaja sejak tahun 2012. Pekan Muar terletak di persisiran Sungai Muar. Best sangat feeling angin sungai tu. Mendamaikan jiwa orang kata.
Walaupun satu hari je, kita boleh melawat banyak tempat yang best. Lokasi pun dekat-dekat dan tidak memakan masa yang agak lama. Macam biasa, kami suka singgah tempat makan best dan tempat bersejarah (bukan muzium ye). Jom tengok beberapa tempat yang menarik di Muar.
1. TANJUNG EMAS
Terletak dekat Muara Sungai Muar. Dekat situ ada pelbagai kemudahan awam dan taman reakrasi yang sesuai untuk aktiviti keluarga beriadah. Tanjung Emas ini adalah destinasi pertama kami awal pagi. Sempat la hirup udara yang segar dekat taman yang berdekatan dengan Jeti Tanjung Emas.
Plan asal kami memang bercadang nak naik bot dekat Jeti Tanjung Emas, tapi malangnya hari itu bot mula beroperasi agak lewat iaitu pada jam 12 tengahari. Kami tak nak buang masa menunggu, terus melawat keretapi M.S.R (Muar Railways State) dalam taman. Zaman dulu, ada keretapi tau dekat Muar ni. Saya pun baru tahu. Dah lama tinggalkan subjek sejarah. 😁
 |
Jeti Tanjung Emas, Muar. Boleh naik bot menyelusuri Sungai Muar |
 |
Keretaapi M.S.R (Muar State Railway), Taman Tanjung Emas |
 |
Zayd dan abah bergambar kenangan. |
Bersebelah taman pula, ada Dataran Tanjung Emas yang ada jam besar tu. Walaupun cuaca agak panas sebab matahari baru nak naik, kami tidak lepaskan peluang ini. Seronok rasanya bila angin bertiup dari arah sungai. Tenang hati apabila memandang ke arah air sungai yang mengalir.
 |
Dataran Tanjung Emas |
 |
Pemandangan Sungai Muar dari Dataran Tanjung Emas |
2. MASJID JAMEK SULTAN IBRAHIM
Destinasi kedua kami adalah Masjid Jamek Sultan Ibrahim. Masjid ni dibina pada tahun 1927 untuk menggantikan bangunan pada asalnya dari kayu yang dibina tahun 1880-an. Pertama kali tengok, terus rasa terpukau dengan reka bentuk masjid yang menggabungkan elemen Barat ala-ala Inggeris klasik. Warna pun menarik bertema biru putih sejuk mata memandang.
 |
Pintu masuk utama masjid |
 |
Rekabentuk yang cantik dan menarik |
 |
Suasana dalam masjid yang sangat tenang |
 |
Kolah air tempat mengambil wudhuk |
 |
Ummi dan Zayd merakam kenangan di Masjid |
3. MURTABAK SINGAPURA
Kalau nak makan murtabak terbaik dekat Muar, wajib singgah di Restoran Murtabak Singapura ni. Terdapat dua jenis murtabak iaitu daging dan ayam. Kuah pula sangat menarik warna merah dan ada timun. Pertama kali tengok kuah murtabak sebegitu. Kami berdua decide untuk cuba Murtabak Special iaitu ada campuran daging dan ayam. Rasa dia sedap. Lebih kurang sama macam murtabak ZamZam di Singapura. Murtabak frozen juga dijual untuk dibawa balik ke Kuala Lumpur. Bolehlah bagi mak ayah rasa pula.
 |
Permandangan dari luar restoran Murtabak Singapura |
 |
Saiz murtabak sangat besar dan berbaloi dengan harga |
 |
Inilah rupa murtabak special yang kami order tu |
 |
Ini pula kuah murtabak. Tak pedas dan tak manis sangat. Cukup rasa je. |
4. MEE BANDUNG ABU BAKAR HANIPAH
Kalau rasa nak makan mee bandung Muar yang sedap dan berbaloi, wajib singgah Kedai Makan Mee Bandung Abu Bakar Hanipah. Dengar kata resepi mee bandung ni legend dan turun -temurun sejak tahun 1930-an lagi. Tapi, serius rasa mee bandung Muar ori ini sedap dan berbaloi.
Selain mee bandung, boleh jugak cuba rasa satey daging dan ayam ni. Memang murah dan terbaik!
Selepas makan, kami sempat bergambar dengan tuan milik mee bandung yang sangat sporting. Terima kasih kerana sudi melayan kami dengan mesra. Waktu operasi bermula pagi seawal pukul 10.00 pagi sehingga petang (sampai mee habis). Malam tidak dibuka.
 |
Permandangan dari luar Kedai Makan Mee Bandung Abu Bakar Hanipah. Joint dengan kopitiam. |
 |
Serius sedap. Kuah pekat dan secukup rasa. Cuba sekali, rasa nak makan lagi. |
 |
Bergambar dengan pakcik tuanmilik Mee Bandung Abu Bakar Hanipah |
5. KOPI 434 SAI KEE
Last pit stop kami sebelum bergerak balik ke KL, kami singgah Kedai Kopi 434 @ Kopi Muar. Peminat kopi memang wajib singgah di sini. Boleh juga beli beberapa stok serbuk kopi kan?
Apa yang menarik Kopi 434 ini sudah lama bertapak dekat Muar sejak tahun 1953 lagi. Jadi kami yang sememang peminat kopi sangat berpuas hati dapat minum kopi original. Hilang terus mengantuk tengahari itu.
Lokasi kopitiam ini berdekatan dengan Stesen Bas Muar. Landmark kedai adalah bangunan berwarna kuning.
 |
Kedai Kopi 434 |
 |
Suasana dalam kopitiam. Ramai yang singgah di sini sementara menunggu bas. |
 |
Kopi panas kegemaran ummi Zayd |
Ini sahajalah beberapa tempat yang sempat kami singgah di Muar. Secara keseluruhan, kami hampir cover tempat menarik dan wajib singgah di Bandar Muar.