PURATA PERTAMBAHAN BERAT ANAK MINUM SUSU IBU

"Risaunya berat anak tak naik-naik."
"Susu sy tak cukup ke sebab berat anak tak naik?"

Ini antara kerisauan ibu yang menyusu bila melihat pertambahan berat anak yang minum susu ibu perlahan.

Belum lagi faktor persekitaran cakap-cakap orang kata anak tak cukup susu ibu dan perlu tambah susu formula.

Apa yang ibu perlu tahu tentang pertambahan berat anak di awal kelahiran? Jom saya kongsikan. 😊

Pertama, apa yang kita perlu tahu adalah normal pada awal kelahiran, bayi akan kehilangan berat badan 5-7% daripada berat yang dilahirkan. Ini kerana bayi akan banyak membuang mekonium iaitu najis hitam (sebelum najis kuning) dan kehilangan air dalam badan.

Kebanyakkan bayi akan kembali kepada berat badan seperti waktu dilahirkan dalam masa 10-14 hari.

Saya bagi contoh; 
Berat bayi lahir adalah 3.0kg, adalah normal lepas kelahiran berat bayi akan menurun 5-7% iaitu sehingga 2.79kg. Tetapi kebanyakkan bayi akan kembali kepada berat asal dalam masa 2 minggu.

BERAPA PURATA PERTAMBAHAN BERAT ANAK MINUM SUSU IBU?

Kesilapan pertama ibu-ibu yang menyusu adalah membandingkan berat badan dengan anak yang minum susu formula. Ini kerana perkembangan fizikal dan kenaikan berat badan anak menyusu susu ibu dan susu formula adalah BERBEZA.

Ini adalah purata pertambahan berat anak yang minum susu ibu:
🔸 0-4 bulan:  Purata kenaikan berat badan adalah 170g seminggu.  Kadar normal adalah 150-240g. (Min 600g sebulan)

🔸 4-6 bulan: Purata kenaikan berat badan adalah 110-140g seminggu. (Min 440g sebulan)

🔸 6-12 bulan: Purata kenaikan berat badan adalah 60-100g seminggu. (Min 240g sebulan).

Kenapa ibu tidak boleh membandingkan berat badan anak dengan anak orang lain? Ini kerana banyak faktor yang boleh mempengaruhi kenaikan berat badan termasuklah berat masa lahir.



FAKTOR YANG MEMPENGARUHI BERAT ANAK
🔸 Faktor keturunan dan jenis badan yang berbeza
- Kajian dilakukan menunjukkan faktor keturunan seperti bangsa mempengaruhi berat bayi. Sebagai contoh bayi asia adalah berbeza dengan bayi negara barat. Selain itu, kita juga boleh lihat jenis badan ibu bapa anak.

🔸 Kadar metabolisme badan
- Kadar metabolisme badan berbeza menyebabkan jumlah kalori yang dibakar juga adalah berbeza.
- Bayi yang sangat aktif bergerak lebih banyak membakar kalori berbanding bayi yang kurang aktif dan lebih relaks. Ini menyebabkan kenaikan berat badan bayi kurang aktif lebih cepat berbanding bayi aktif.

🔸 Kekerapan penyusuan susu ibu
- Perlu lihat juga kekerapan bayi minum susu ibu. Sebagai contoh bayi yang kurang menyusu dan hanya diberikan bila breast ibu penuh, bayi akan dapat lebih foremilk (susu cair) berbanding hindmilk yang mengandungi lebih banyak lemak untuk membantu perkembangan dan kenaikan berat bayi.

🔸 Pemakanan anak selepas 6 bulan
- Ibu juga perlu mengambil kira pemakanan bayi selepas 6 bulan. Ini kerana bayi berusia selepas 6 bulan memerlukan makanan yang seimbang selain susu ibu.



Kesimpulannya, ibu-ibu yang menyusu jangan risau jika pertambahan berat anak perlahan. Pastikan kenaikan berat anak seimbang dengan perkembangannya. Ibu boleh merujuk GRAF pertumbuhan yang ada di belakang buku pink/biru anak. Selagi berat vs ketinggian iaitu bmi anak adalah normal, maka ibu tidak perlu risau.



Susu ibu  bagus untuk perkembangan otak, mengandungi antibodi yang sangat hebat dan membekalkan nutrisi secukupnya mengikut usia anak. 

Kajian juga menunjukkan bayi yang diberikan susu ibu akan mudah menerima sayur-sayuran dan kurang memilih makan.

Jangan pernah rasa putus asa berjuang untuk susukan anak tercinta. Yakinlah susu ibu adalah yang terbaik berbanding susu lain yang ada di dunia ini.

Jika ibu ada kerisauan tentang perkembangan dan pertambahan berat anak, sila berbincang dengan doktor. 

Semoga bermanfaat ya. 😊

Salam Penyusuan dari saya,

FADZIELAH AYUB
Pembimbing Rakan Penyusuan Anda
Malaysian Breastfeeding Peer Counselor
#Breastfeeding_FA